Kempen kesedaran kanser payudara

Oleh: Nur Asmat & Siti Rahmah  

 NILAI- 20 Januari lalu, Yayasan Pride dengan kerjasama  Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menganjurkan Program Ceramah Kempen Kesedaran Kanser Payudara yang bertempat di DKP 3, USIM.

Program ini dirasmikan oleh Puan Rezki Perdani Sawai, Pengetua Kolej Kediaman Camellia Court dan telah menampilkan dua orang penceramah yang terdiri daripada Dr Siti Rokiah  Kamarudin, Pakar Perubatan Keluarga dan Puan Noor Zarirah Jusoh, Pakar Dietitik Hospital Seremban.

Pihak Yayasan Pride turut membawa seorang bekas pesakit kanser iaitu, Cik Shanmuga Dewi bagi berkongsi pengalamannya menangani penyakit tersebut. 

Menurut Penasihat Yayasan Pride, Puan Nasirah Aris, kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kanser payudara dan penjagaan kesihatan payudara serta  memperkenalkan Klinik LPPKN.

Turut serta sebahagian besar pelajar dari Kolej Kejururawatan Murni, Nilai 

Kempen ini berbeza daripada tahun sebelumnya kerana memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS. Antara IPTA dan IPTS yang terlibat adalah USIM, Kolej  Kejururawatan Murni, Kolej Antarabangsa Nilai dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Selain daripada itu, program ini turut mengadakan pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan percuma, pendaftaran subsidi mammogram oleh LPPKN, pemeriksaan percuma klinikal payudara, cara pemeriksaan sendiri payudara dan pameran kanser payudara.

Menurut salah seorang peserta program, Intan Syafina, 22, dari Kolej Kejururawatan Murni berkata, “Program ini amat bermanfaat kepada saya, seperti apa yang pernah saya lalui, walaupun hanya ketulan biasa, ia memberi kesan yang mendalam dalam hidup saya  dan saya mula menyedari betapa bahayanya kanser payudara.”

Difahamkan, penubuhan yayasan Pride adalah bagi memperingati keberanian dan ketabahan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood dalam usahanya menangani penyakit kanser payudara. 

Usaha beliau telah menyedarkan masyarakat bahawa kanser boleh menyerang sesiapa sahaja tidak mengira usia, mahupun kedudukan