Meriahnya Karnival Kesihatan Se-Tampin

Oleh: Ahmad Syukri & Mohd Hannan

PANDAN INDAH- Pelajar tahun empat, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan Karnival Kesihatan Se-Tampin yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Dr. Sulaiman pada 2 Januari yang lalu.

Program yang bertemakan “Sejahtera Tanpa Infeksi” ini dianjurkan bagi memenuhi kurikulum kursus Perubatan dan Surgeri (MBBS) USIM ketika mengikuti Kursus Kesihatan Masyarakat di tahun 4 dengan kerjasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah Tampin.

Objektif program ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan berkenaan influenza A-H1N1 di kalangan masyarakat Tampin.

 

Di samping menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma, menanamkan gaya hidup yang sihat dan menjalinkan silaturrahim antara peserta dan urusetia program, ia juga merupakan sebagai kesinambungan bagi kajian berkenan influenza H1N1 yang telah dijalankan di tiga taman terpilih iaitu Taman Bukit Tampin, Taman Seri Intan dan Taman Seri Belian. 

Program ini dirasmikan pembukaannya oleh Dato’ Haji Yusof bin Yunus, Pegawai Daerah Tampin yang turut dihadiri oleh Pegawai Perubatan Daerah, Dr. Khalijah bt Mohd Yusof, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof Dr Jamilah Jamaluddin, Penolong kanan Hal Ehwal Murid SK Dr. Sulaiman Encik Mad Zaid Haji Kulop dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Ali bin Umar.

Selain itu, antara aktiviti yang terdapat di dalam karnival ini ialah  ruangan pameran yang memfokuskan informasi berkenaan influenza A-H1N1.

Contohnya dari segi aspek pencegahan, rawatan dan input-input mengenai penyakit tersebut yang menjadi fokus utama memandangkan ia merupakan medium penyampaian maklumat mengenai keputusan kajian yang telah dijalankan.

Aktiviti kanak-kanak turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertan- dingan mewarna dan rebut kerusi.

Di samping itu, terdapat juga aktiviti pemeriksaan kesihatan untuk orang ramai yang hadir dan juga perkhidmatan pemeriksaan ‘pap smears’ dan payudara bagi golongan wanita yang diuruskan oleh staf Pejabat Kesihatan Daerah Tampin.

 Antara program yang telah diselitkan ialah pameran dan pemeriksaan pergigian untuk kanak-kanak oleh Klinik Pergigian Daerah Tampin.

Apa yang menarik semua perkhidmatan pemeriksaan kesihatan disediakan dengan percuma oleh pelbagai pihak.

Program tersebut menutup tirai dengan perlawanan persahabatan yang disertai oleh pihak kesihatan daerah, JKKK, pelajar USIM serta masyarakat setempat.

Secara keseluruhannya, program ini telah berakhir dengan jayanya kerana mencapai objektif yang telah ditetapkan dengan kehadiran peserta mencecah 353, melebihi target awal.

“Sesungguhnya karnival ini adalah sesuatu yang membanggakan bagi kami yang kurang berpengalaman dalam mengadakan program, apatah lagi ini merupakan program kesihatan pertama yang kami anjurkan.

Namun, kejayaan yang dikecapi bukanlah hasil usaha di satu pihak sahaja, tetapi ia merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.” kata Mohd Hilmi bin Husain selaku Pengarah Program.