Abdullah Firdaus Bin Abd Jalil

Oleh: Ain Nabihah & Siti Hajar

Apakah perkembangan terbaru anda?

Sekarang saya sibuk dalam menyiapkan tesis dan kajian lain yang berkaitan dengan undang-undang di Malaysia. Selain daripada itu, saya juga telah menghadiri beberapa temuduga di beberapa agensi seperti Zaid Ibrahim Exco Lembaga Getah Malaysia sebagai Pegawai Undang-undang dan TNB sebagai eksekutif undang-undang.

Sibuk dengan rutin harian belajar dan aktiviti lain pastinya memberi tekanan bukan? Apa yang akan dilakukan bagi menghilangkan rasa tertekan?

Kebiasaannya jika saya berasa tertekan, saya lebih suka untuk duduk bersendirian sambil memotivasikan diri sendiri. Saya juga akan menghabiskan masa sendirian dengan membaca buku motivasi atau meluangkan masa untuk berjalan ke tempat yang dapat memotivasikan diri saya. Semua ini kebiasaannya saya akan lakukan seorang diri.

Bagaimana boleh tertarik dengan bidang yang diceburi? Adakah disebabkan minat?

Untuk aktiviti debat, saya memang berminat untuk bercakap dan ini memberi minat kepada saya untuk berdebat dengan orang lain. Manakala dalam aktiviti-aktiviti lain, saya memang berminat menceburkan diri dalam bidang pengurusan dan membuat sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Minat ini bermula setelah saya memasuki USIM ini kerana sebelum ini saya tidak pernah menceburi bidang tersebut semasa di alam persekolahan.

Apakah cara yang telah membuatkan anda berkeyakinan diri dalam membuat semua perkara?

Saya ada satu prinsip di mana kita perlu yakin dengan segala perkara yang kita buat selagi apa yang kita ingin lakukan itu adalah betul walau apa juga yang orang lain akan katakan. Hidup kita tak sepatutnya tersangkut dengan sesiapapun. Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Prinsip ini saya pegang dan ini telah memberikan keyakinan kepada saya dalam membuat semua perkara. 

Bagaimana anda membahagikan masa antara belajar dengan aktiviti-aktiviti lain?

Dalam menjalankan apa juga akti- viti, saya akan menumpukan sepenuh perhatian dalam apa jua yang saya lakukan. Ketika belajar, saya akan menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar di dalam kelas. Begitu juga ketika membuat aktiviti-aktiviti lain, sepenuh perhatian akan diberi ketika membuat aktiviti tersebut. Saya juga mempunyai jadual tersendiri dalam menguruskan masa.

Adakah anda aktif bersukan?

Saya aktif bersukan ketika berada di tahun 2 dan 3 di mana saya menjadi wakil USIM dalam MASUM bagi perlawanan boling. Namun, saya kurang terlibat di dalam aktiviti sukan setelah memasuki pertengahan tahun 3 kerana selalunya saya lebih cenderung kepada program-program di bawah HEP USIM.

Apakah pengalaman menarik sepanjang pengajian di sini?

Banyak pengalaman menarik yang saya alami sepanjang pengajian di sini. Antaranya ialah pengalaman untuk mencuba perkara-perkara baru seperti mengendalikan beberapa program seperti MUET Workshop, Seminar Kecemerlangan Mahasiswa FELDA dan Lawatan Antarabangsa ULPM ke Korea. Selain daripada itu, saya juga telah dihantar untuk belajar di INTI College Subang selama dua bulan serta berpeluang menjejakkan kaki ke Sabah dan Sarawak ketika menjadi wakil USIM di dalam beberapa pertandingan.

Siapakah idola anda?

Idola saya ialah Dato’ Faiza Tamby Chik. Beliau merupakan bekas hakim Mahkamah Tinggi dan juga pensyarah FSU. Beliau selalu memberi semangat dan motivasi kepada pelajar ketika berada di dalam kelas.

Apakah matlamat dan harapan anda?

Matlamat saya ialah untuk berjaya dalam bidang yang diceburi dan membahagiakan keluarga serta kawan-kawan saya.

Apakah pesanan untuk pembaca USIM Today?

Pesanan saya, kita hendaklah sentiasa yakin dengan apa yang kita lakukan dan ingatlah, “The sky is the limit.” Selain daripada itu, kita juga seharusnya mempunyai integriti dan komitmen serta sikap  jujur dan amanah dalam melakukan sesuatu perkara.